KUALA LUMPUR: UMNO Selangor sudah pun memuktamadkan jumlah kerusi dan kawasan yang ingin ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada Jun nanti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Megat Zulkarnain memaklumkan, UMNO Selangor menerusi Barisan Nasional (BN) bersedia untuk berunding dengan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun jelas beliau, rundingan tersebut akan melalui perbincangan peringkat BN negeri bersama komponen dan Friends of BN terlebih dahulu bagi mendapatkan persetujuan mereka sebelum dibawa berbincang bersama PH.

Megat Zulkarnain memberitahu, setakat hari ini, keputusan tersebut adalah muktamad dan beliau sudah pun memaklumkan perkara tersebut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Ini adalah kenyataan rasmi daripada badan perhubungan UMNO negeri dan kerusi-kerusi ini kita telah kenal pasti untuk kita berbincang dan kita perhalusi.

"Angkanya, tak perlulah saya maklumkan, selepas kita persetujui, maka itulah keputusan yang akan kita patuhi dan pastikan tandingi dalam PRN," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Menurutnya, jumlah kerusi tersebut termasuklah yang disandang oleh parti itu seperti Sungai Panjang, Sungai Air Tawar, Sungai Burong dan Semenyih.

Dalam masa sama, Megat Zulkarnain menegaskan sebarang kenyataan dibuat oleh sebarang individu adalah bersifat peribadi dan pramatang untuk dipersoalkan apabila parti sudah pun bersetuju dengan keputusan dicapai sebelum memulakan rundingan rasmi.

"Kenyataan mudah balas saya ialah it is too premature untuk mana-mana pihaknya memberikan kenyataan yang saya fikir itu hanyalah bersifat peribadi.

"UMNO Selangor memutuskan dan bersetuju dengan keputusan yang kita capai dan akan memulakan rundingan secara rasmi," katanya lagi.

Megat Zulkarnain juga memaklumakan, kesemua 22 bahagian UMNO Selangor menerima keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang memutuskan untuk memecat bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beliau menjelaskan, UMNO Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Noh atas jasa baktinya sebelum ini.